KUALA LUMPUR, 16 JANUARI 2020 – Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN) yang berada di bawah kelolaan Institut Sukan Negara (ISN) kini diiktiraf Pusat Kecemerlangan Perubatan Sukan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Perkara ini turut menjadikan PPSN sebagai Pusat Perubatan Sukan kedua yang diiktiraf AFC selepas Kuala Lumpur Sports Medicine Centre (KLSMC).
Selain di Malaysia terdapat lima lagi pusat perubatan sukan di seluruh Asia yang diiktiraf AFC antaranya di Dubai, Jepun, Australia, Iran dan India.
Ketua Operasi ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli berkata, pengiktirafan tersebut memberi banyak kelebihan akses khususnya dalam industri bola sepak Asia yang mana ahli AFC boleh mendapatkan khidmat perubatan semasa mengadakan latihan di negara terlibat.
“Pakar di sini juga dapat meningkatkan pengetahuan mereka mengenai kecederaan dalam bola sepak, penjagaan dan teknologi baru sains sukan,” katanya.
Bagi Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John pula, pengiktirafan tersebut menjadikan pusat PPSN sebagai pusat rujukan utama perubatan sukan dan penyelidikan kepada pasukan dan ahli gabungan selain mendapat banyak manfaat.
Beliau berkata, bidang perubatan sukan semakin berkembang dan AFC sangat komited untuk mengadaptasi amalan perubatan sukan yang terbaik bagi manfaat pemain bola sepak negara.
Pemilihan PPSN dibuat berdasarkan insfrastruktur, pendidikan, kemudahan dan penglibatan dalam penyelidikan perubatan sukan.